Monday 7 October 2013

Pemilihan UMNO Bukan Pertandingan Ratu Cantik, Perwakilan Disaran Bijak Buat Keputusan

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata pemilihan jawatan sayap pergerakan dan Pusat pada 12 dan 19 Oktober depan bukan seperti pertandingan ratu cantik yang dibuat bersandarkan kepada populariti.

Sehubungan itu, semua perwakilan katanya, perlu membuat keputusan yang bijak tanpa dipengaruhi nafsu dan emosi kerana pemilihan yang dibuat kelak bakal menentukan nasib dan masa depan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

“Perwakilan perlu membuat keputusan yang tepat dan bertanggungjawab bagi memilih barisan pemimpin yang bukan sahaja diterima di di peringkat parti dan perwakilan tetapi juga di kalangan rakyat yang menaruh keyakinan UMNO akan membawa perubahan atau transformasi ke arah yang lebih baik.

“Pemilihan parti pada 12 dan 19 Oktober nanti cukup berat dan ia bukan seperti pertandingan cantik yang dibuat berdasarkan kepada populariti kerana perwakilan bukan memilih ketua untuk tempoh sehari, seminggu, sebulan atau setahun sebaliknya sehingga PRU-14,” katanya pada majlis Himpunan Generasi Muda Perak di Ipoh, petang tadi.

Beliau berkata lagi, akibat pemilihan yang berdasarkan kepada sentimen emosi dan persepsi sepintas lalu, bukan sahaja calon menerima tempias atau kesannya sebaliknya seluruh jentera parti UMNO juga akan turut merasai impaknya pada PRU-14.


“Bagi saya, menang jawatan dalam parti tetapi kalah dalam pilihan raya tidak mendatangkan apa-apa makna sebaliknya kita perlu pilih untuk menang pada PRU-14 nanti.

“Sejak pindaan perlembagaan dibuat, ahli yang layak boleh bertanding sebagai calon sekaligus membuktikan kita bergerak ke arah pendewasaan parti tetapi biarlah calon yang bertanding itu mempunyai sejarah pencapaian dan pernah berjasa kepada parti,” katanya lagi.

Sementara itu, pada sidang akhbarnya, Khairy yang bakal berhadapan pertandingan lima penjuru untuk mempertahankan jawatannya berkata, beliau menyerahkan kepada para perwakilan untuk menentukan nasibnya pada pemilihan kali ini.

Ujarnya, jasa dan rekod calon yang sudah terbukti perlu diambil kira oleh para perwakilan sebelum membuat keputusan muktamad.

“Nilai dari segi sejarah dan pencapaian calon, bukannya pilih mereka yang datang dengan janji dan penuh keyakinan boleh buat perubahan sedangkan hakikatnya ia sukar dilaksanakan,” tegasnya lagi.

Sumber: Perak Today

0 comments: