Wednesday 29 May 2013

Kerajaan Fasilitator Realisasikan Impian Belia – Najib


Kerajaan merupakan fasilitator untuk merealisasikan hasrat dan impian golongan belia menjadi realiti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata kerajaan, yang sentiasa menganggap golongan belia penting, melakukan pelbagai usaha untuk memperkasa golongan berkenaan, namun ia dilakukan bukan daripada pengarahan dari atas ke bawah, sebaliknya datang daripada golongan itu sendiri.
“Apa yang dihasratkan dan apa yang diminati golongan belia, kerajaan merupakan fasilitator untuk memungkinkan segala impian dan minat golongan belia menjadi kenyataan serta realiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) di antara Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), 1Malaysia For Youth (iM4U) dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, Selasa.
Hadir sama ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Pada majlis itu, Najib menyaksikan pemeteraian MoU di antara JLKN dan Kementerian Pertahanan dengan iM4U yang akan memperkenalkan program iM4U kepada pelatih dan bekas pelatih PLKN.
MoU itu ditandatangani Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kecil dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah iM4U, Datuk Irmohizam Ibrahim.
Najib juga menyaksikan pemeteraian MoU di antara KBS dan iM4U dengan KBS menyerahkan Kompleks Rakan Muda Puchong kepada iM4U untuk ditransformasikan sebagai Pusat iM4U.
MoU ditandatangani Ketua Setiausaha KBS Datuk Mohid Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif iM4U Datuk Seri Farid Ridzuan. Ia diikuti penyerahan replika kunci Kompleks Rakan Muda Puchong kepada iM4U.
Najib berkata dengan termeterainya MoU Selasa, kira-kira 240,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) secara automatik akan menjadi anggota iM4U dalam masa tiga tahun.
Beliau berkata penyertaan golongan ini dapat memupuk semangat sukarelawan di kalangan generasi muda dan memudahkan agenda transformasi nasional diperjuangkan.
“Di samping itu, kita juga akan cuba menarik penyertaan alumni PLKN yang kita anggarkan kira-kira 730,000 bekas pelatih PLKN untuk memberi galakan dan kemudahan kepada program ini.
“Melalui perjanjian MoU ini, iM4U akan memberi sokongan kepada pelatih PLKN dengan memberi sumbangan RM2,500 kepada 81 kem latihan PLKN di seluruh negara,” katanya.
Najib berkata iM4U JLKN Outreach Program diwujudkan di setiap kem PLKN untuk menyelaras aktiviti sukarelawan yang dilaksanakan bersama iM4U dan JLKN.
Selain itu, beliau berkata Pusat iM4U akan diwujudkan untuk belia dan sukarelawan berkumpul, berkongsi pengalaman masing-masing dan melibatkan diri dalam kegiatan serta aktiviti yang diminati mereka.
“Hasrat ini hampir menjadi realiti apabila Kompleks Sukan Rakan Muda Puchong di bawah Kementerian Belia dan Sukan ditransformasikan menjadi Pusat iM4U,” katanya sambil menambah kerja pengubahsuaiannya akan dijalankan oleh sukarelawan yang terlibat dalam iM4U.
Najib berkata kepakaran pelajar universiti akan digunakan untuk menyumbang terhadap reka bentuk dan pembinaan semula pusat berkenaan.
“Pusat ini adalah untuk orang muda, bukan sahaja dari segi penggunaannya tetapi dari segala aspek, kita akan jadikan pusat ini milik sebati orang muda tanah air.
“Saya percaya melalui program iM4U yang diwujudkan di universiti dan pusat outreach, kita dapat menarik minat pelbagai belia dan sukarelawan dalam bidang seperti muzik, sukan, teater, kelas agama, pusat internet, bazar hari minggu dan studio foto. Ia satu program yang dapat menyentuh perasaan golongan muda di tanah air,” katanya.
BERNAMA

0 comments: